Tuesday, 8 December 2009

Coretanku buat adam..



        


     Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….
                                                                         
“Seindah-indah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah...”
Perhiasan dunia yang turut menghiasi akhirat.Itulah wanita solehah.Wanita yang sering diimpikan oleh para mujahid dan para suami.Perkahwinan jua disebut sebagai ‘membina masjid’.Mulianya sebuah perkahwinan disisi Tuhan dan indahnya pada dunia Islam.Masjid sebagai tempat beribadah,halaqah dan tempat berukhwah sesama saudara.Diibaratkan pernikahan itu seumpamanya,lalu dengan niat apakah masjid itu dibina?Wajarkah dikotori nafsu yang jahil semata?Andai masjid dibina dan tidak diisi dengan ibadah,sungguh amat sia-sia kebaikan yang dibina tanpa dipelihara.Andai masjid kukuh,dikunjungi cinta sesama saudara,disuburi pohon keimanan,dibasahi hati yang bersyukur..yakinlah,Allah pasti memelihara.
”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..”
Empat yang menjadi pilihan.Dan pilihan utama ialah keagamaan.Harta milik ALLAH SWT,takut jika harta yang dipinjamkan ditarik kembali maka terseret jua cinta kita.Andai keturunan menjadi dambaan,aku cuma an-nisaa akhir zaman.Walau tinggi harapanmu ingin menjadikan aku seteguh aisya Humaira dan setabah saidatina khadijah,ketahuilah duniaku dihiasi keindahan yang seringkali mengaburi penglihatan.Ranjau dan cabaran yang bila-bila mencalari dan melukai sekeping hati insan hina.Kecantikan yang menjadi pilihan akan terus diragui haluannya.
Wahai Adam…
Jika harta yang kau idamkan,aku dilahirkan dengan hidup sederhana dan hartaku cuma pada agama yang dianugerahkan oleh Allah SWT.Harta yang diwarisi dari ibubapa tercinta tanpa tertulisnya wasiat, cuma azan yang menyambut tika kelahiran.Semoga kehadiranku yang dilafaz dengan akad nikah memberi kemesraan dan kesenangan buatmu agar bersama mensyukuri nikmat yang diberiNya.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Ruum:21)




Kecantikanlah menjadi pandangan pertama pada setiap insan.Andainya kecantikan yang menjadi pilihanmu,diriku bimbang akan tersisih jauh andai pinjaman illahi dikembalikan cinta turut dituntut kembali.Pandanglah aku dengan mata akalmu dan mata hatimu daripada mata zahirmu.Cukup dengan pancaindera yang mampu mencantikkan hati yang mampu ku ukir dalam diri,andai cantik lahiriah yang menjadi dambaan hati,lorong haluanmu,aku bukanlah orangnya,bukanlah pilihanmu.
" Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya."
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)
Kekuranganlah yang kerapkali menyelubungi diriku,namun andai kesempurnaan melemaskanku.Kekuranganlah yang menjadi kesempurnaan pada kebahagiaan.Pernikahan dan perkahwinan adalah perjuangan menuju ke jalan illahi.Perjalanan yang memberikan ilmu untuk terus jihad diatas jalanNya.Andai ada ketetapan lain yang kau ciptakan buat sekeping hati ini berkongsi atas pembinaan masjid ibadahmu ini,redha itulah jadi penemanku.Kerana bukan kekasih duniawi yang menjadi impianku,tetapi teman ke ukhrawi yang abadi.Biarlah lafaz syahadah yang mengakhiri pertemuan bukan lafaz yang mampu  merobohkan tempat ibadah suci yang telah terbina.Semoga pada masjid indah itu lahirlah khalifah yang berdiri di jalanNya dan menyinari taqwa fisabilillah sambil menghulur pahala atas keteguhan masjid yang terbina.
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (An-Nissa':1)



Bukan hantaran ribuan yang kuinginkan,maskahwin yang bakal membutakanku pada pembinaan asas masjid cinta illahi dan kabur pada erti pertemuan atas dasar agama.AlQuran sebagai mahar pun cukup memberi pedoman untuk tetap pada haluanNya dan redha akan ketetepanNya.Kebanggaan dan pujian pada hiasan kilauan pelamin bukanlah menjadi pintaku,cukuplah dengan doa dari hati yang ikhlas kerana berpeluang menyempurnakan yang separuh dari agamaku.
Sabda Rasulullah saw : “Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas kahwinnya.”
Bukan pangkat pada dunia penentu tinggi rendahnya kesetiaanku.Kepimpinan dari keperibadianmu yang kuharap agar jiwa lemah ini terpelihara dari rebah tak bermaya.Andai kau hilangkan agama pada dirimu,maka hilanglah cintaku padamu.Kerana masjid pernikahan dibina dengan lafaz mulia menginginkan redhaNya.
Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".
                                                    (An-Nissa':34)           
Bukan usia mengukur tahap cinta,bukan jua paras rupa.Andai ditakdirkan hidup susah,selagi Allah memelihara hati dan iman yang ada akan meneguhkan tiang masjid yang dibina.Kehidupan Rasulullah yang mulia turut diuji dengan dugaan kesusahan.Hinggakan Rasulullah pernah berlaukkan roti dan cuka sebagai santapannya.Rumahtangganya tetap bahagia dan menjadi contoh terulung dalam sirah.Wajarkah aku pendosa yang hina, mengeluh ketetapan ‘susah’?sedangkan padanya dihulurkan pahala  buat yang sabar dan insyaAllah dijanjikan syurga.
“Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan ,sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” Al-Insyiraah:5~6
Coretan ini bukan sekadar tulisan yang ditaip kemas tanpa niat.Bukan jua dengan bicara berbunga untuk meruntun jiwa adam.Kesedaran yang tercetus dalam diri mengingatkan pada pertemuan hati yang dicipta illahi dan doa untuk perkahwinan yang lebih mahabbah.Buat insan yang padanya ada masjid terbina,cintailah pad ketetapanNya.Dan dari itu pasti dapat merasai kemanisan cinta yang dianugerah Allah SWT buat hambaNya.
Sekian,Wassalam
Bicara An~Nisaa yang hina.









Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..