Saturday, 28 November 2009

KEDEKUTnya kita!





Alangkah kedekutnya kita
Baru dapat ilmu sedikit
Bangga sudah meleret-leret
Ego sudah tinggi melangit
Hinggakan lupa menyebut
"Alhamdulillah" atas segala nikmat
Bukankah Tuhan sentiasa menguji?
Tatkala diri sentiasa diberi
Jiwa mula meninggi diri
Pujian jua yang dicari..
Sedangkan Allah rindukan kalimah suci
Meniti di bibir Hambanya yang naif..
Pahala dapat dihulur
Darinya beroleh redha illahi
Semoga dengan ikhlasnya hati pada ilmu
Tersedarlah saudara kita yang leka
Bangkitlah saudara kita untuk beramal..

Kedekut itulah kita..
Tika masa senang singgah
Amat sedikit yang istiqamah
Jangankan bismillah dibaca
Alhamdulillah pun kerap lupa
Malah zikir semakin hilang
Sujud semakin berkurang
Tatkala susah menjelma
Sejadah mula digeledah
Panjangnya doa untuk meminta
Sedangkan Allah tidak kan mengecewakan hambaNya
Namun apakah yang kita minta?
Memohon derita pergi
Agar rezeki kemari?
Sungguh,Munafiknya diri!
Masa susah mula rapat pada illahi
Bila senang mula lupa diri
Jika pada susah kita merebut pahala
Jika pada susah kita perbanyakkan ibadah
Ingatlah andai masa senang tiba..
Bersyukurlah nikmat Allah yang tidak terkira
Merintihlah kerana takut diri tersisih
Bukan mengeluh hilangnya nikmat duniawi

Kedekutnya kita
Hidup bernafas dengan udara dariNya
Tapi solat cuma seminit dua
Mana selawat pada Rasulullah?
Mana doa pada ibubapa?
Mana AlQuran yang seharusnya dibaca?
Mana zikir dari bibirmu?
Untuk dunia..
24 jam seakan tak mencukupi
Namun untuk akhirat
1 jam seakan lama dihati
Pandangan tak berkedip pada TV
Namun resahnya diri tatkala membaca AlQuran ayat illahi
Katanya inginkan pahala
Katanya inginkan syafaat
Katanya inginkan akhirat
Tapi saat mati dingatkan
Telinga pekak buta pandangan
Alfatihah yang beribukali dibaca
Masih tidak tahu maknanya..
Astaghfirullah..
Itulah kita..

Tapi tamaknya kita!
Keburukan saudara jadi bualan utama
Sedekah yang dihulur jadi khabaran merata
Harta yang dikejar hingga lupa pada anak keluarga
Aurat didedah aib dibuka
Maksiat bukan lagi perkara biasa
Wanita ditindas lemah perkara kecil di mata
Anak kecil dibunuh hina kesian sekejap cuma
Dosa yang terkumpul banyaknya...
Entah bila baru terasa cukup?
Entah bila taubat itu wujud?
Katanya hidayah belum ada..
Masa itu belum tiba..
Diri belum bersedia..
Saat mati tiba..
Mampukah kita berkata?
Tunggu,aku belum bersedia!
Suruh Malaikat izrail tunggu..
Aku mahu bayar solatku!
Aku mahu kumpul pahalaku!
Aku mahu taubat padaNya!
Tamaknya diri pada ketentuanNya!
Neraka dan syurga bukan lakonan filem dan cerita
Syahadah dan solat bukan suis kecemasan dunia
Tapi itulah amaran dan pengajaran

Kebenaran akan terbela
kebatilan akan terhapus juga
Justeru,kedekutlah pada masa yang semakin meninggalkan kita
Kedekutlah pada mulut yang selalu mencemuh menghina
Kedekutlah pada pandangan yang menimbulkan fitnah dan zina
Biarlah kita tamak pada tuntutan fardhuNya
Biarlah kita tamak dengan Doa ikhlas pada Allah Swt
Biarlah Kita tamak dengan Selawat atas para Nabi dan Rasul junjungan
Biarlah kita tamak mengejar pahala dan RedhaNya
Kerana kita semua tahu
AKHIRAT pasti menanti..
Sedangkan SYURGA belum Pasti buat diri
Kedekutlah pada selekoh duniawi yang fana
Kerana ALLAH telah menetapkan Jalan lurus buat HambaNya..


:Bicara dari An~Nisaa yang Hina~
.:.Alangkah kedekutnya diri andai tidak membacanya dengan mata akal dan mata hati
.:.Dan kedekutnya pancaindera andai tiada mengambil iktibar dan beramal dengannya..
.:.Muhasabahlah bersama~


Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..

Wednesday, 25 November 2009

Bersahabat dengan Solat..



Sepinya suasana sambil dingin itu mengusap tubuh
Ah,sungguh malasnya diri!
Azan yang bergema membingit di telinga
Memberitahu En.Subuh telah tiba
Lantas cik Wudhu' meluahkan rindu
Aku masih termangu berselimut babi
Ah,azab api neraka itu seakan menyengat di ruang kepala!
Lantas jasad yang lemah digagahi jua
Pilhan mengatasi sejuk menggigil dari panas mendidih kelak
Lalu sejadah mengucap salam disambut telekung putih
Subuh 2 rakaat terlaksana
Bersama rakan Al-Mathurat
Bisik mereka
Pahala kan mendekati
Allah memelihara mu hari ini


Suara Azan lagi berkumandang
Saat itu ku tutupkan pandangan
Pada kerja yang berlambak dan bertangguh
Kerana sungguh!
Azan itu menggegarkan jiwa duniawi
Katanya En. Zuhur sudah menanti
Bersama Para Jemaah yang cintakan kasih Abadi
Mari rakan sejadah serta telekung putih!
4 rakaat perlu dipahat!
Agar saudara dosa malu mendekat!
Lantas bertemankan cik Doa yang lama berbicara
Hiba bersuara meminta ampunanNya
Ya ALLAH,
RedhaMu yang kami cari..
Tetapkan iman pada Jalan Illahi

Sejuknya Jiwa walau terik mentari di tengahari..

Petang bertandang
Berkumpul bersama teman
Beriadah berbicara tersimpul kemesraan
Saat kedengaran panggilan Azan
Teringat pada jemputan En. Asar
Godaan syaitan hampir buatku tersungkur
Namun..
Terkenangku pada telekung putih
Teringatku pada Kain putih!
Lantas ku cari cik Wudhu'
Ke hamparan sejadah
Yang rindukan dahi menyentuh
Yang rindukan zikir meniti dibibir
Yang rindukan telunjuk menunjuk arah

Ampunkan hambaMu yang sering leka..
Bicara ku penuh kesal

Langit mula kekuningan
Jasad dibersihkan menanti azan kedengaran
Seperti biasa..
En. Maghrib setia datang berkunjung
Lalu 3 Rakaat yang tertunai meresap di kalbu
Tangisan jatuh tatkala mengalunkan kalamullah Al-Quran
Kali ni ku hindarkan godaan syaitan durjana
Ku pujuk jiwa agar terus tetap di hamparan sejadah
Ditemani Zikir 'rakan' yang menjemput ketenangan
Diiringi Selawat 'sahabat' yang penuh syafaat
Tangan bergetar memanjat doa
Lemahnya dan hinanya diri..
Ampunkan hamba yang selalu buta
Tatkala buta,tongkat di tangan pula dilepaskan
Alpanya diri membiarkan sang nafsu merajai
Ya Rabbi,Jangan biarkan hamba menangis kerana dunia
Kerana syurga itu yang di hati
Pimpin diri ke arah jalanMu
Kerana tidak ada daya melawan nafsu
tanpa pertolonganMu..


En. Isyak menatap diri
Mengajak 4 rakaat perlu ditunai
Langit sudah bertabirkan gelap
Dihadiahkan sinaran bulan terang
Pusingan yang akur pada ketentuan
Pada,
Nadi yang berdenyut
Udara yang disedut

Semua hanya pinjaman
Berteraskan pada janji Rabb
Maka,
Sebelum diri berbungkus
Sebelum jasad ditimbus

Roh perlu terurus
Darinya kita datang
Dan KepadaNya lah kita kembali


Isyak itu ku bermuhasabah..
Sambil menunggu saat mengundang En.Tahajud
Istiqamahkan diri pada yang lima Ya Allah..
Matikan aku dengan husnul khatimah
Pujuklah aku bersama Taubat Nasuha
Berilah kekuatan agar aku tak leka!

Agar esok pagi..
Aku kan bangun dan tersenyum bersama En. Subuh
Hingga saat terakhir tiada lagi panggilan tetamuku datang
En.Subuh,En.Zuhur,En.Asar,En.Maghrib dan En.Isyak
Akan menerangi perjalanan ku ke akhirat..
Mengukuhkan titian mustaqim di akhirat kelak
Sungguh mereka itu tiang agama..
Jemputlah mereka diawal waktu
Khusyuklah padanya!
Kemanisan Iman kan tertanam bersama RedhaNya..
InsyaAllah...








-Bicara dari An~Nisaa yang hina...
































Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..

Saturday, 21 November 2009

Aku cuma An~Nisaa




Ya Allah..
Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama
Tiada ragu mengucap syahadah
Pengorbanan bersama Rasulullah
Susah senang bersama
Walau hilang harta kerana berdakwah
Walau dipulau 3 tahun 3 bulan
Imannya sedikit pun tak berubah
Mampukah aku setabah dirinya?
Andai diuji sedikit sudah rebah..
Baru dihina sudah mengalah
Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah
Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya
Tidak pernah putus asa pada perjuangan dakwah baginda
Anak yang semulia peribadi baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua yang membersihkan cela
Pada jasad Rasulullah tercinta
Gagahnya dirinya pada dugaan
Mampukah aku sekuat Fatimah?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumaiyah
Tukang sisir yang beriman
dan Keluarga Yasir yang bertakwa
Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia
Iman tetap terpelihara walau nyawa jadi taruhan
Mampukah sabarku seperti mereka?
Tatkala digoda nafsu dunia..
Entah mana hilangnya Iman di dada
Ya Rahman..
Kuatkan Imanku seperti Masyitah
Terjun penuh yakin  bersama bayi ke kuali mendidih
Kerana yakin Allah pasti disisi
Sabarkan aku seperti sumaiyah
Biar tombak menusuk jasad..
Iman sedikit pun takkan rapuh.

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Ummu Sulaim
Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar Iman
Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah
Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami
Hinggakan segala panahan ke Rasulullah pada hari uhud
Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah
Ya Allah..
Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya
Tingginya nilai cinta pada harga Iman
Mampukah aku menatap cinta itu?
Sedangkan rupa yang menjadi pilihan
Ketulusan Iman diketepikan
Ya Allah..
Ilhamkan aku pada cinta sepertinya..

Ya Allah...
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Isteri termuda Rasulullah
Biar dilempar fitnah
Dia tetap teguh pada ketetapanNya
Isteri sejati yang memangku Nabi
Pada saat terakhir baginda
Hadis dan Sunnah Rasulullah dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah
Ya Allah..
Mampukah aku contohi dirinya?
Pada fitnah yang melanda
Diri mula goyah dan putus asa
Teguhkan Imanku sepertinya..Ya Rahim..

Ya Allah..
Teringat diri pada Khansa
Empat orang anaknya mati di Jalan ALLAH
Dia meratap tangis..
Anak sulungnya syahid
Anak keduanya turut syahid
Anak ketiganya dan keempat jua mati syahid
Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta
Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah..
Mampukah aku menjadi ibu yang berjihad?
Sedang anak tak tutup aurat pun masih tak terjawab
Sedang anak tinggal solat pun buat tak kisah
Berikan aku kekuatan sepertinya..
Agar bersedia pada akhirat.

Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah..
Diriku bukan setabah Ummu Khadijah
Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah
Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumaiyah
Mahupun sehebat Ummu Sulaim
Dan tidak seteguh Aisya Humaira
Kerana diri cuma An-Nisaa akhir zaman
Dimana Aurat semakin dibuka terdedah
Dimana syahadah hanya pada nama
Dimana Dunia yang terus dipuja
Dimana nafsu fana menjadi santapan utama
Dimana batas sentiasa dileraikan
Dimana ukhwah sentiasa dipinggirkan

Wahai Kaum Hawa
Kita cuma An-Nisaa
Para pendosa yang terbanyak di neraka
Lantas walau tak setabah para Mujahidah
Namun Tabahlah pada ketetapan Allah
Kerana padanya ada Syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah
Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara
kerana padanya ada Pahala!
Walau tak sesabar para wanita solehah
Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa
Kerana padanya ada bahagia!

Sesungguhnya Hawa tercipta dari Tulang rusuk kaum Adam
Bukan untuk ditindas kerana lemah
Tapi untuk dilindungi kerana Indah
dan Indah apabila tertutup terpelihara
Kerana disitulah terjaganya Syahadah
Bak mekarnya wanita dalam sirah
Tuntunlah kami ke arah syurga..
Bicara dari An-Nisaa yang hina..
Makbulkan doaku..
Aamiin..


Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..

Thursday, 19 November 2009

Ingatkan hati wahai Iman..




Wahai hati..
Segumpal darah yang tercipta
Ku lihat dirimu semakin penuh titik noda
Dimanakah perginya cahayamu?
Dimanakah ketenanganmu?
Lupakah pada syahadah?
Atau terleka pada perkara lagha?
Usah bertanya dan terus dihimpit rasa bersalah..
Sedang usaha dan istiqamah masih rapuh..
Niat dalam jiwa pun masih rebah..

Duhai Hati...
Dimanakah janjimu?
Dimanakah penawar zikirmu?
Kau katakan kau akan patuh..
Kau katakan Nabi itu pesuruh...
Lalu dimana takbirmu?
Lalaikah pada dunia fana?
Malukah  sujud sebagai Hamba?
Atau sanggup menempuh azab neraka?
Jangan terus berbangga..
Nikmat nyawa sia-sia tanpa ibadah..
Tiap yang bernyawa pasti bernafas pada udara yang sama..
Kenapakah masih meragui Tuhan itu Esa?
Kenapakah masih kaku pada Tuhan yang Maha Pemurah?
Lihatlah dirimu yang masih diberi masa..
Lihatlah dirimu yang masih punya waktu..
Kenapa masih termangu?
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun
Pada hamba yang hatinya rukun
Selagi pintu taubat terbuka..
Ayuh bukakan hati pada Taubat Nasuha!


Wahai Iman..
Dimanakah dirimu tika azan lantang bergema?
Tiadakah rasa gentar pada kalimah ALLAHUAKHBAR?
Atau telinga sudah pekak dek nafsu dunia yang terlakar?
Atau nafsu dunia itu terus membuat pandangan pada sejadahmu kabur?
Kenapa dosa jua yang menjadi alasan?
Kenapa kehidupan jua dipersalahkan?
Kau kata kau beriman pada Qada'dan Qadar?
Tapi mengapa kecewa dengan ketetapan Tuhan?
Lupakah ALLAH itu Maha Penyayang..
Kecewa dipandangan mata namun sabar diganjar pahala
Taubat nasuha dari Iman yang rebah pasti terbela..
Jangan terus rebah dan lemah tiada bermaya..
Sedangkan masa sentiasa mahu memapah
Pada Hamba yang sentiasa beristighfar
Pada Hamba yang bergelar khalifah
Hidup subur iman dengan syukur
Alhamdulillah..

Wahai Dosa..
Jauhilah aku dari terus menyapamu,
Aku insan lemah tanpaNya..
Apakah caranya agar aku bisa memadam noda?
Pada pancaindera yang seringkala tersalah guna..
Pada akal yang seringkala tersalah tafsir..
Pada lidah yang sentiasa tertikam kata..
Pada nafsu yang biasanya tersesat arah..
Pada Hati yang selalunya lupa..
Sungguh..
Dosa itu merenggut ketenangan..
Menggegarkan keimanan..

Wahai Insan yang punya hati..
Wahai Hati yang punya Iman..
Wahai Iman yang dikabus dosa..

Solat itu tiang agama,maka kukuhkanlah tiang itu
Agar hatimu akan sentiasa tawadhu
Khusyuklah padanya yang tentunya memelihara..

Bacalah Quran Kalamullah,kerana padanya bimbingan
Panduan jalan ke arah mustaqim yang penuh jaminan
Berpeganglah padanya agar teguhlah Iman..

Dan ukhwah itu tentera membawa ke syurga
Darinya Islam tersebar merata..
Lantas berselawatlah pada Baginda..
Tanpanya mana mungkin ada hati yang disuluh Iman..
Selawat yang menghadiahkan syafaat..
Sungguh cinta Nabi tinggi pada umat..

Tuntunlah hadis dan sunnah pada haluanmu.
Ikatlah kesabaran pada hati dan jasadmu..
Sungguh Hati itu dicipta oleh Nya..
Berbolak-baliknya hati pada kuasa Allah
Dan hanya dia yang berhak menghulurkan hidayah..
Pujuklah hati mengingati mati..
Muhasabahlah pada langkah ke ukhrawi
Berkorbanlah demi syurga
Jangan berputus asa..
Insan kan sentiasa diulit dosa..
Dengan itu,
Bersahabatlah dengan Doa..
Kerana pada Doa lah terbitnya tawadhu' dalam jiwa..
Menyuci hati,penyeri Iman..
dan tangisan padanya bernilai disisi Tuhan..
Ya Allah Rabbul A'lamin..
Terimalah amalku..

Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..

Saturday, 14 November 2009

salam buat adikku..


Adik..
Salam perkhabaran dan semoga sihat walafiat diiringi berkat dari ALLAH.Jari menulis lagi..meluah rasa rindu yang terpendam.Sungguh,Hanya ALLAH mengetahui sedalam mana kasihku pada adik.Kakak harapkan pertemuan nanti,kita akan meluangkan masa bersama dengan keluarga.Rindu untuk sujud bersama adik,rindu untuk mendengar alunan Alquran adik,rindu untuk menyanyi selawat dengan adik.Sungguh rinduku tak terkata dengan  bicara,tak tertulis oleh pena..
Adik..
Masih ingat lagi pesan ayah?Bukan harta yang dia inginkan sebagai balasan jasanya..bukan jua dengan masa yang sentiasa tidak pernah cukup untuk berkumpul bersama.Bukan.Tapi cukup dengan senyuman anaknya,cukup dengan bertanya salam perkhabaran ,cukup dengan doa mengutus rindu,cukup dengan Sujud penuh pengharapan pada Tuhan,cukup dengan melihat kita menutup aurat sebaiknya,cukup dengan alunan AlQuran anaknya yang terdengar di cuping telinganya ..itulah  ketenangan yang takkan sama dengan berjuta harta didunia.Pesan ayah lagi,jangan sesekali lupakan ibumu.Doa dari ibu tak pernah putus dari bibir..tak terbanding betapa besar anugerah ALLAH.Walau dibalas dengan nyawa masih tak cukup dibandingkan dengan jasanya.Kita lihat kasih ayah,tak pernah sekalipun meninggalkan ibu..walau pucatnya ibu menanggung sakit,walau tawarnya senyuman ibu .
Adik..
Bicara tentang Ibu..Masihkah kau ingat ?Dalam senyuman membangunkan kita untuk solat.Dalam sakit masih mampu bicara tersenyum mengingatkan kita Solat.Pada tangannya yang mengucup dahi mengucap selamat tinggal untuk anaknya di perantauan, masih mampu tersenyum menyembunyikan tangis..tapi pesan solat tetap sentiasa dibibirnya.Betapa kasih ibu hingga ke ukhrawi.Keluhan tidak pernah kedengaran.Restu Ibu kita harapkan. Lalu,jangan lupa..doakan ibu wahai adik.Doakan agar ibu sentiasa mendapat redha ALLAH..sungguh ,pengorbanan ibu tinggi disisiNya.Doa ibu pada anaknya sentiasa segar di bibir.Kasihilah ibu ayah kami sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kecil.
Adik…
Semalam adik bicara pada kakak tentang ilmu.Betapa ilmu mengajar adik segalanya.Namun adik bersedih akan pelajaran adik.Puas sudah berusaha menelaah,namun masih jua kerap lupa.Puas sudah dipujuk hati agar jangan membangga diri tatkala berjaya,namun sukar untuk mengajar hati.Lalu adik bertanya pada akak jalan terbaik bagi naik turunnya jiwa diri.Akak terdiam dan meminta diberi petunjuk illahi.Lantas solat sunat mengiringi,keliru memberi jawapan pada adik.Kakak bukan lah sepintar aisya humaira dan bukan jua sehebat rabiatul adawiyah.Tapi…solat,ketenangan darinya..mengungkapkan jawapan pada diri yang naif.
Adik…
Ku tanyakan kembali pada adik apakah paling penting sekali sebelum mengerjakan solat?Lalu adik menjawab dengan berwudhu’.Adik..berwudhulah sebelum menelaah,kerana pada wudhu’ terdapat berkat.Wudhu bukan saja menyucikan zahir namun batin turut dipelihara atas doa ikhlas pada ALLAH.Lihat pada solat,apakah yang paling penting dalam solat?Lalu adik terdiam seketika dan perlahan-lahan menyebut ‘niat’.Ya adikku..niat lah yang paling penting.Tanpa niat kita takkan fokus dan khusyuk kerana setiap perbuatan tanpa niat akan mudah goyah hatinya.Namun sebelum niat,beristiazah lah (meminta perlindungan pada ALLAH),semoga niat tidak dikotori nafsu duniawi.Dengan niat kita akan bertemu istiqamah.Niatlah kerana ALLAH kerana ia akan menjadi ibadah..semoga hati akan mengerti.Kerana ALLAH lah yang menciptakan hati..Hati akan tertunduk dengan sendiri pada penciptaNya.Selepas itu,tawakkal lah..berdoa sambil bertawakkal.Tawakkal tanda kita kasih pada ketetapanNya..
Adik..
Hari itu..kita berbicara soal cinta.Betapa dirimu disentuh soal naluri cinta.Adik keliru..kerana insan itu mencintai adik kerana ALLAH.Adik runsing dengan fitrah dan emosi..dengan nafsu duniawi dan ukhrawi.Ketahuilah Adikku,cinta itu milik ALLAH.Dan dialah yang berkuasa memberi dan menariknya kembali.Berteguhlah di jalannya.Cinta itu bukan tertegaknya dengan janji dan kata-kata bermadah.Tapi cinta pada Adam itu halal dengan nikah,jangan sesekali menzahirkan dengan tingkah laku andai cinta itu tiada haluannya,tiada halalnya.Cinta itu memerlukan pengorbanan,memerlukan kesabaran.Fokuslah pada pelajaran,kerana kakak takut..cinta itu akan merampas kasih adik pada illahi..akan membutakan adik pada laluanNya.Jangan dibelenggu usia adik..cinta itu akan ada bila sampai waktunya.Cinta di usia muda..ianya umpama air dalam tasik yang tenang,sentuhan sedikit pun mampu menggegarkan ketenangan.Mungkin jua mampu membangunkan sang buaya yang bila-bila menunggu masa untuk menerkam mangsa.Tanya Iman,cukup beranikah diri menempuhnya?
Adik..
Kehidupan ini tidak sentiasa berpihak kepada kita.Andai diuji bererti kita sentiasa diperhati..andai dikeji,jangan sesekali  membenci.Andai ditindas,ALLAH pasti disisi.Menangislah andai tangisan itu melegakan.Kerana wanita dan air mata sukar dipisahkan.Namun jangan bersedih terlalu lama takut tercalarlah iman retaklah ibadah.Senyumlah..kerana setiap senyuman itu adalah sedekah.Bertemanlah dengan AlQuran..kerana dengan Alquran lah kita akan terpujuklah kedukaan.Ingat Adik..tatkala berjuang,sentiasalah mara ke hadapan.Bukan hanya bertahan dan menunggu untuk diserang.Sesekali pandanglah belakang,belajarlah dari kesilapan dan pengalaman.Kerana berjuang bukan saja ada keberanian tapi memerlukan panduan,tentera,kesabaran,cabaran dan tentulah ketenangan.Iman itu kompas kita..sabar itu bendera kita.. tentera kita pada ukhwah yang sentiasa mengingatkan kita,cabaran itu musuh yang memperbaiki kelemahan kita dan tentulah ketenangan yang menawarkan kemenangan.Kemenangan jua bukan pada tertikamnya pihak lawan,tapi tertegaknya kebenaran dan terputuslah kebatilan.
Adik…
Seandainya kau merasa kesunyian..Ingatlah,Allah sentiasa bersamamu.Walaupun kakak tiada disisi,namun doa tetap mengiringi.Ketahuilah adik…kakak sangat menyayangimu.Dunia dan akhirat..                                                                                                                                            
                                                                                                 ~salam sayang dari kakak~


Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..

Wednesday, 11 November 2009

Tinta melakari hati ~Muhasabah diri melalui Azan

Berbicara tentang Azan..
Azan dalam Islam iaitu bermaksud memaklumkan.Ia sinonim dengan bilal ataupun para muazzin yang bertujuan untuk mengajak sekalian umat Islam mengerjakan rukun kedua Islam.Ia juga sebagai tanda masuknya waktu solat dan beralihnya peredaran masa daripada subuh ke tengahari hingga ke malam.

Namun,cuba kita tanyakan diri..apakah yang kita lakukan sebaik sahaja terdengar Azan berkumandang?Adakah kita senyap dan menghayati setiap kalimah Azan yang dilaungkan dan menjawab dengan sebaiknya?Atau adakah kita bingkas bangun untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu' untuk mengerjakan solat?Atau pun adakah kita membiarkan Azan yang berkumandang itu habis sendiri sedangkan kita masih petah berbicara dan berbual dengan rakan?Berlainan lagi dengan Azan melalui corong radio mahupun tv,berapa banyak yang terus menghayati daripada terus beralih ke rancangan yang lain? Tepuk dada tanyalah Iman,bicaralah pada fikiran.
Mari kita berkongsi sedikit waktu untuk menyelidiki apa yang tersirat di sebalik makna panggilan Azan itu...

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
-Sebutan 4 kali ini dan menunjukkan betapa Agungnya ALLAH SWT dan lantas menyedarkan kita betapa kebesarannya mengatasi segala apa yang ada di langit dan bumi.Waktu ini seharusnya difokuskan pada fitrah seorang manusia sebagai khalifah.Tinggalkan segala duniawi dan seharusnya mengingatkan kita tentang kewajipan untuk sujud kepadaNya tanpa sebarang alasan.No excuse to miss.

Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
-Sebutan sebanyak 2 kali yang memberi kesaksian tentang sifat Esa Allah.Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH.Lantas menyedarkan kita tentang syahadah kita.Sesungguhnya dengan solat lah syahadah kita terjaga.Dari solat yang khusyuklah syahadah memelihara kita.Lalu apakah alasan kita untuk mengelak dari melakukan hal yang paling utama dari segala perkara yang utama didunia?

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
-Sebutan sebanyak 2 kali ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah saw.Mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad itu sebenar-benarnya utusan dan kekasih ALLAH SWT.Lalu,selepas solat sebaiknya berselawatlah kepada Rasul Junjungan kita dan para keluarga mahupun sahabatnya.Betapa pengorbanan dan Akhlak Nabi menjadi contoh bagi sekalian umat.Betapa sayangnya Nabi pada Umat hingga nafas terakhirnya masih menyebut “ummati..ummati..”.Syafaatnya antara rahmat yang diberi pada umatnya.Lantas ringankanlah diri berselawat kepadanya.Cinta kita masih tak setanding cinta Nabi pada umatnya.

Marilah mendirikan solat
Marilah mendirikan solat
-Sebutan 2 kali yang membawa kita mengajak untuk menunaikan solat.Dan sebaiknya solat itu adalah solat berjemaah.Laungan lantang ini mengajak kita untuk menunaikan solat.Solat adalah penghubung hamba dengan Tuhannya.Sudah ditetapkan ada 5 waktu solat Fardhu perlu ditunaikan.Seandainya kita mengelak,dengan alasan tidak bersedia dan sebagainya,namun ia tetap dikira sebagai ‘Hutang’ disisi ALLAH.Dan kita sebagai hamba perlu melunaskan kewajipan sebelum Tuhan yang melunaskan untuk kita(Azab Neraka).Bilakah agaknya kita baru bersedia untuk solat dengan sempurna dan bilakah agaknya ada masa yang cukup untuk menggantikan segala solat yang tertinggal?Dan sesungguhnya hari ini tidak akan sama dengan semalam dan jauh berbeza dengan esok.Tidak sama pagi yang ada matahari dan malam yang bertemankan bulan.Lalu solatlah diawal waktu.

Marilah menuju kejayaan
Marilah menuju kejayaan
-Sebutan 2 kali yang sama banyak dengan panggilan solat.Sesungguhnya orang yang menang dan berjaya disisi ALLAH ialah orang yang tetap mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk.Ini juga menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk menuju kejayaan yang pasti bukan sahaja di dunia tetapi akhirat.Kejayaan yang sebenar-benarnya bukan sahaja dari berapa banyak harta kita,tapi betapa kalimah ALLAH dan suruhan-suruhannya ditegakkan.Tinggalkan dahulu kerja duniawi untuk mengerjakan solat,kerana pada solatlah bermaknanya kejayaan.

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
Tiada Tuhan selain ALLAH
-Diingatkan kita sekali lagi betapa besar dan agungnya ALLAH SWT.Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH.Manusia itu mudah lupa dan lemah..tapi ALLAH itulah kekuatan kita.Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari perbuatan cela.Kalaulah diri mudah mengikut ajakan teman-teman tanpa sebarang alat pembesar suara pun sudah terpujuk.Kenapa Azan yang bersuara lantang langsung tidak terendah oleh akal dan fikiran apalagi jasad?Walhal,syaitan sekalipun akan berlari bertempiaran tatkala terdengar laungan Azan menunjukkan betapa Azan ini mampu memberi rasa gentar pada syaitan.Adakah kita ingin menjadi lebih teruk daripada makhluk tersebut,tiadakah rasa gentar dan takut dalam hati kita tatkala nama ALLAH itu disebut?

Ingatlah..selagi kita terdengar kalimah ALLAH dari azan ini dilaungkan,persiapkan diri untuk solat.Kerana kita tidak tahu sampai bilakah lagi laungan ini akan kedengaran di cuping telinga,kerana andai panggilan menghadapNya sudah tiba,sudah tentu kita tidak mampu menangguhkannya apalagi mengelak.Akhir kata..segala yang baik datang dari ALLAH SWT dan yang buruk pun datang dari ALLAH SWT atas kelemahan diri sendiri..Wallahu wa’lam…

Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..

Sunday, 1 November 2009









   Siapakah kita untuk terus menjalani hidup dengan bahagia?Sedangkan cabaran dan dugaan bila-bila akan menempuh hari yang bakal mendatang.Kadang kita diberi nikmatNya dan seringkali juga nikmat itu disalahguna..Kadang kita mengeluh dengan apa yang telah diatur,namun sememangnya manusia itu takkan lari dari mengeluh..Tanya diri,berapa banyak keluhan kita dalam sehari berbanding pujian untukNya?Itu lah manusia…
     “Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”Al-Faatir:2
     “Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata "-Saba’:24
   Lantas hari-hari yang berlalu dinikmati bersahaja,peringatan yang datang seakan angin yang menampar pipi.Tatkala angin berlalu pergi,kedinginan turut hilang..Kadangkala tangisan penuh sedar itu tiba,namun akan hadir jua perasaan putus asa terhadap keampunanNya.Seolah diri tidak akan diterima amalannya.Lantas amalan terputus begitu sahaja.Ditambah pula dengan dosa yang memujuk hati-hati yang sememangnya tidak ada ketenangan dalam diri.
   “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”Al-Zumar:53
      “Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.”Al-Ghaffir:58

     Tatkala masa sibuk datang,rindu bertandang pada masa lapang.Hari dilalui dengan mengharap masa akan pantas berlalu.Sedangkan hari nyawa terpisah dari jasad semakin pendek.Kesibukan yang menjadi ujian.Ada yang berusaha belajar dari kesilapan masa lalu,Ada yang berusaha mempelajari perkara yang membuatkan kesilapan datang.Kita tidak tahu..mungkin setelah ujian atau bala menimpa,Barulah kita tersedar akan perkara yang kita anggap remeh ini amat mempengaruhi hari kebesaran kelak.Setakat manakah kita yakin hari itu bakal menjelang?Tepuk dada tanya Iman..

      “Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah)”Fussilat:49
       “Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): "Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku aKan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!" Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.”-Fussilat:50
        “Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.”Fussilat:51
        Kita memikirkan falsafah apakah yang mampu menyedarkan diri,dan kesedaran yang hadir dengan rasa cinta dan takut untuk melakukan perkara yang mendatangkan dosa.Bilakah agaknya perasaan itu lahir? Beribu kali bermuhasabah diri namun jarang sekali istiqamah.Tiap kali rasa manis beribadah itu hadir meresap dalam diri,masa yang sama kita rebah dengan ujian yang seringkali terlepas pandang pada hikmahnya.
      “Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak - ragu-ragu tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu.”Fussilat:54
       “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”Hujuraat:15
         “Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.”Al-Maaidah:100
           Kesabaran amat mudah diungkapkan dengan kata-kata.Namun untuk meresap dalam jiwa amat berat sekali.Hati yang tiada tempat sandaran,akan sentiasa meragui usia perjalanannya.Tanpa Iman dihati..sabar takkan bererti..tanpa sabar Iman takkan bermakna..Biarkan hati kita diterangi laluan yang sentiasa memujinya,tatkala kita melalui jalan itu,segala susah payah akan terbela..Tidak di dunia sekalipun,tapi Akhirat itu pasti!
     “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)".”Saba’:46
         “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".”Al-Baqarah:286
    “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”Al-Baqarah:155,156,157.
            Kesenangan di dunia tidak akan kekal selamanya.Titipkanlah dalam hati,biar kesenangan yang datang tidak akan menggelapkan Iman,membutakan pandangan.Kemewahan itu antara lain adalah ujian buat kita.Tatkala kita ditimpa kemiskinan,diri mengeluh.Seolah-olah miskin itu membuatkan kita jauh dariNya.Ingatlah sesama kita.Ibadah bukan untuk dijual beli,nilainya pada pahala yang diberi dari Maha menyintai.Kemewahan dunia bukan pada harta semata,tapi kemenangannya pada orang-orang yang tetap mengerjakan solat dan diri yang penuh ketenangan.Ketenangan akan hadir sewaktu dalam diri yang menyintai ketetapan Allah.
         “Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.”Az-Zukhruf:35


                AlQuran itu bukan setakat bacaan yang dilagukan lalu mencipta bait-bait yang syahdu didengari dan menusuk di jiwa.AlQuran itulah memujuk kita..walau dalam tangisan membaca amaran-amaran keras dari Tuhan,masa yang sama diri akan redha dan tenang akan pujukan ayat-ayat Allah..Selagi nyawa belum berpisah,selagi itulah pintu taubat masih terbuka luas..Seandainya kita benar-benar memahami maksud kandungan AlQuran,akan bermain di fikiran betapa beratnya azab dari Allah,betapa banyak dosa dalam diri.Tanyakan pada diri…berapa banyak kita melafaz kesyukuran dan menzahirkannya? Sememangny ayat-ayat itulah muhasabah terbaik buat manusia.Tangisan takkan berhenti mengenangkan nasib akhirat kelak.Tiada gunalah kecantikan diri jika sikitnya pahala untuk meniti titian mustaqim.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).(At-Taubah:24)
Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.(At-Taubah:118)
Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur.(Al-Furqaan:50)
Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".(Al-Furqaan:77)
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.(Al-Furqaan:71,72)
   Cinta itu milik Allah..Segala yang dilangit dan dibumi milik Allah.Tiada yang kekal melainkanNya.Andai DIA menarik kembali nikmat yang diberikannya,Mungkin itu antara cara menyedarkan kita..dan menambah pahala kita..Pelihara diri,saling berukhwah,ingat-mengingati..Permusuhan sesama saudara hanya membawa kemurkaan Allah.Kita semua inginkan syurga,namun mengapa membezakan dan membandingkan apa yang tersurat di pandangan kita,fikirkanlah apa yang tersirat.Pasti kekecewaan yang menggoyah iman tidak akan  lahir.AlQuran benar-benar memujukku…meyakinkanku…


       ‘ Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa.’ (Al-Haaqqah:48)
       ‘Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya).’ (Al-Haaqqah:51)
 Lalu,ku pujuk temanku…Alunkanlah bacaan AlQuran itu,fahamilah maksudnya…agar jiwa ketakutan pada Azabnya meresap dalam setiap nawaitu.Agar kita sentiasa mengingati mati.Semoga terpeliharalah Iman dalam diri.Itu lah muhasabah yang terbaik disisiNya.Pujuklah dirimu dengan AlQuran…
Demi Masa! (1)
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –(2)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3) (Al-‘Asr)
                                                                                    

       

     

    





Terima kasih atas Mata Hati yang teliti..